
Imej wanita dan kanak-kanak seringkali mendapat perhatian pengiklan terutama untuk meningkatkan daya saing pengeluar produk/penyedia perkhidmatan. Hal ini dilakukan dengan cara menyelitkan elemen-elemen human interest dalam iklan masing-masing. Bagi imej wanita, daya tarikan memfokus kepada prospek pelanggan/pengguna lelaki. Elemen kecantikan, kelembutan dan seksual dijadikan sebagai sandaran kepada pengiklan bagi menarik perhatian audien iklan walaupun produk/perkhidmatan yang diiklankan tidak berkaitan langsung dengan wanita dan kewanitaan. Demikianlah juga dengan imej kanak-kanak yang lazimnya dimanipulasi khusus untuk menarik perhatian ibubapa/penjaga kanak-kanak agar tertarik atau secara 'terpaksa' memberikan perhatian kepada iklan berkenaan. Kedua-dua subjek iklan ini boleh digunakan mengikut tujuan dan jenis produk/perkhidmatan yang diiklankan. Sebaliknya, pengiklan menggunakan kedua-dua subjek sebagai 'agen penarik' perhatian audien iklan tertentu.