Pages

Rabu, 20 Oktober 2010

PIT STOP DISKUSI 4 [AK21503] : Kesan Psikosial Kempen


Kempen sosial menyajikan mesej berkaitan dengan isu semasa khusus untuk menangani isu-isu sosial dalam satu-satu masyarakat. Isu sosial seperti perselisihan faham antara kaum dan agama begitu berbahaya dan boleh menggugat emosi dan pemikiran seseorang ahli masyarkat. Ia sekaligus memberi impak kepada gaya hidup, pergaulan, cara bertindak dan corak pembuatan keputusan setiap ahli masyarakat terhadap satu-satu isu sosial yang umumnya membabitkan kepentingan diri, keluarga, jiran tetangga dan komuniti mereka. Peranan ahli masyarakat adalah jelas iaitu untuk menangani punca permasalahan yang timbul di tengah-tengah masyarakat. Cuba tunjukkan kesan psikososial satu kempen sosial kepada khalayaknya [sebagai contoh, kesan kempen perpaduan antara kaum di negara ini kepada emosi dan pemikiran ahli masyarakat terhadap nilai persahabatan, sikap memiliki negara secara bersama dan semangat setiakawan untuk hidup dalam suasana yang harmoni.

Selasa, 19 Oktober 2010

PIT STOP DISKUSI 3 [AK30903]: Pengaduan Awam


Saban tahun, kerajaan Malaysia berusaha untuk meletakkan skim perkhidmatan awam di tempat yang sepatutnya terutama dalam hal berkaitan fungsi dan tahap kecekapannya. Ini penting untuk merealisasikan matlamat mewujudkan penyampaian perkhidmatan awam bertaraf dunia. Antara inisiatif yang dilakukan oleh pihak kerajaan menerusi Agensi Pusat kerajaan seperti MAMPU dan EPU adalah mengumpulkan maklum balas daripada orang awam dari masa ke semasa terhadap tahap kualiti penyampaian perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat. Maklumbalas bertulis dan lisan daripada khalayak membolehkan kerajaan meneliti masalah yang wujud dalam proses penyampaian perkhidmatan awam sebelum menggubal mana-mana peraturan bagi prosedur penyampaian perkhidmatan yang berkualiti. Sebarang masalah yang timbul akan ditangani dengan cara yang sesuai agar perkhidmatan yang diberikan memenuhi keperluan pihak khalayak.
Berpandukan pengalaman dan pemerhatian anda, cuba tunjukkan kepentingan pengaduan awam kepada penggubalan dasar awam berkaitan penyampaian perkhidmatan oleh kerajaan kepada rakyat di Malaysia.

[AK30903] Kuliah 12

Amalan perhubungan awam yang betul dapat menempatkan diri seseorang pengamal di atas landasan yang betul untuk mencapai satu-satu matlamat dalam amalan perhubungan awam organisasinya. Demikianlah juga dengan penghasilan set iklan menerusi media massa yang diketengahkan sebagai paparan genre yang berorientasikan tema serta konsep tempatan yang pastinya terhindar daripada unsur-unsur negatif seperti penghinaan kepada adat resam dan agama, penggunaan bahasa yang betul dari segi nahu dan penceritaan yang mudah serta menepati cir yang ada pada produk/perkhidmatan yang diiklankan.

Fikirkan...Apakah yang akan berlaku kepada ‘hubungan sesebuah organisasi dengan khalayaknya’ jika amalan perhubungan awam tidak dipraktikkan dengan betul?apakah pula kesan sesebuah iklan yang tidak menitikberatkan kepentingan memelihara sensitiviti kaum dan agama terutama dalam persekitaran budaya di negara seperti Malaysia?

[AK30903] Kuliah 11

Kajian ke atas kes-kes dalam bidang perhubungan awam dan perikalan dijalankan khusus untuk menambahbaik kualiti perkhidmatan dan penghasilan set iklan kepada khalayak sasar sesebuah organisasi atau audien satu-satu produk/perkhidmatan di pasaran. Struktur dan kandungan mesej dalam medium perhubungan awam dan periklanan mempamerkan rekabentuk maklumat yang berguna kepada individu atau kumpulan dalam masyarakat supaya mereka dapat memberikan maklumbalas yang sepatutnya dan dikehendaki oleh pengamal perhubungan awam dan periklanan bagi meningkatkan kualiti hasil kerja mereka.

Fikirkan...Bagaimanakah anda dapat membantu segmen khalayak sesebuah organisasi perkhidmatan awam dalam kalangan mereka yang buta huruf, warga tua, golongan tidak berumah dan kelompok fakir memahami mesej berkaitan fungsi dan kesan perkhidmatan yang organisasi anda sampaikan kepada semua kumpulan khalayak ini.

Khamis, 14 Oktober 2010

PIT STOP DISKUSI 3 [AK21503]: Manipulasi Mesej

Lagu 'marabahaya' dendangan Pop Shuvit dihasilkan khusus sebagai lagu tema filem Impak Maksima. Filem ini memaparkan aksi pemanduan kereta secara berbahaya. Persoalan yang timbul adalah sama ada pihak berwajib sedar atau sebaliknya bahawa mesej dalam lagu ini menyumbang sesuatu yang positif dalam Kempen Keselamatan Jalanraya di negara ini. Berpandukan bait-bait lirik lagu ini, cuba hasilkan satu lirik lagu 'marabahaya' versi anda sendiri yang secara teknik memperlihatkan mesej yang berlawanan dengan mesej asal dalam lagu tersebut. Gunakan lirik baru lagu 'marabahaya' versi anda itu sebagai mesej nasihat agar pemandu/pengguna jalanraya lebih berhati-hati terutama dalam hal berkaitan dengan had laju pemanduan/tunggangan kenderaan bermotor di jalanraya.

[AK21503] Kuliah 10

Pembujukan yang baik menjamin kejayaan satu-satu kempen. Pemilihan kaedah pembujukan yang betul dapat membantu pelaksana kempen untuk mencapai matlamat kempen. Sungguhpun begitu, perlu diingat, pembujukan yang cekap dan berkesan bergantung kepada pemilihan cara yang sesuai untuk membujuk, mesej yang mudah dan berupaya menarik perhatian audien, maklumat yang lengkap serta boleh memberi impak kepada aspek pemikiran seterusnya tindakan audien untuk sama-sama menangani satu-satu isu.

Fikirkan...Apakah enam kaedah memanipulasi mesej menggunakan kaedah pembujukan

Selasa, 12 Oktober 2010

[AK30903] Kuliah 10

Kawalan ke atas set iklan yang dipaparkan menerusi media massa perlu dilakukan untuk memastikan bahan kandungan iklan tidak menjejaskan pemikiran dan tingkahlaku audien iklan berkenaan. Mekanisme kawalan ke atas iklan dikuatkuasakan menerusi akta, peraturan, perundangan dan garispanduan etika seperti yang dipelopori oleh ASA. Senaraikan SEPULUH [10] kesan yang boleh dialami penonton/pembaca/pendengar iklan yang mengandungi unsur-unsur sensitif kepada agama dan seksual.

[AK30903] Kuliah 9

Pengiklan cenderung 'menggunakan' wanita dan kanak-kanak dalam set iklan yang diiklankan di media massa. Pilihan untuk mengetengahkan kedua-dua golongan ini sebagai model iklan dilakukan atas sebab-sebab yang berkaitan dengan aspek minat insani.

Fikirkan…senaraikan sekurang-kurangnya LIMA [5] iklan yang menonjolkan wanita dengan cara yang tidak beretika dan LIMA [5] iklan yang menampilkan kanak-kanak yang anda yakin ditampilkan secara tidak bermaruah. Jelaskan sebab-sebab mengapa anda mengatakan semua SEPULUH [10] iklan itu tidak beretika dan nyatakan cadangan bagi mengatasi isu etika dalam kedua-dua kelompok iklan tersebut.

Sabtu, 9 Oktober 2010

Pengumuman Pembatalan Kuliah hujung Minggu [AK21503 - PLUMS]

Salam, kepada semua pelajar-pelajar kursus [AK21503] Kempen & Pembujukan PLUMS, kuliah yang sepatutnya berlangsung pada 10.10.2010 [Ahad, 9:00 pg. - 3:00 ptg.] dibatalkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Maaf atas sebarang kesulitan yang timbul.

Sekian dan terima kasih.

Syah

Selasa, 5 Oktober 2010

[AK30903] Kuliah 8

Penataan maklumat yang baik dalam satu-satu iklan amat penting dalam memastikan mesej berkaitan satu-satu produk atau perkhidmatan dapat disampaikan sekaligus difahami oleh audien. Pelbagai aspek diambilkira untuk menentukan wujud daya tarikan pada satu-satu set iklan khusus bagi menambat minat setiap individu atau kumpulan audien terhadap produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Usaha merealisasikan pembikinan satu-satu set iklan yang berdaya saing, mampu menimbulkan minat seterusnya mendorong pembelian oleh pengguna dimulai dengan penulisan kapi iklan. Kapi iklan yang baik terhasil daripada gabungan elemen-elemen seperti idea yang kreatif, pemilihan konsep malah juga tema yang sesuai dengan produk atau perkhidmatan yang diiklankan.

Fikirkan...cara seseorang pengiklan menghasilkan iklan jenis direct response di akhbar .
dan empat (4) kaedah memaparkan iklan dalam akhbar.

Khamis, 30 September 2010

PIT STOP DISKUSI 2 [AK30903]: Ketirisan Maklumat semasa situasi krisis

Wujud persoalan tentang apakah kesan yang timbul dalam sebuah organisasi akibat edaran mesej yang tidak terkawal semasa situasi krisis. Apakah punca berlakunya edaran mesej yang tidak terkawal semasa situasi krisis [i.e. kebakaran sebuah kilang yang mengakibatkan kehilangan jiwa]. Beberapa penyebab yang menyumbang kepada kecelaruan edaran maklumat sehingga diketahui oleh pihak yang tidak sepatutnya di luar organisasi adalah, 1. sikap tidak amanah pekerja dalam organisasi yang berkenaan; 2. kepintaran pihak wakil media untuk mengumpan pekerja agar membocorkan maklumat kepada mereka; 3. sistem kawalan maklumat yang lemah/longgar sehingga pihak yang tidak sepatutnya boleh mengakses maklumat berkenaan; dan. 4. kepimpinan organisasi yang lemah yang menyebabkan para pekerja di organisasinya boleh bercakap/membincangkan satu-satu krisis secara terbuka sehingga boleh diketahui oleh pihak luar. Cuba tunjukkan kesan langsung akibat edaran mesej yang tidak terkawal dalam sesebuah organisasi sama ada kepada organisasi itu sendiri, khalayak sasar, media, masyarakat umum, pelabur, pekerja dalam organisasi malah juga ketua organisasi itu sendiri.

PIT STOP DISKUSI 2 [AK21503]: The Rational Model of Persuasion [RMP]

The Rational Model of Persuasion [RMP] adalah salah satu model yang boleh digunakan untuk membantu pembujuk untuk menilai situasi dan audien pembujukan sebelum satu-satu usaha membujuk dijalankan. kenalpasti langkah-langkah penting yang perlu diambilkira dalam model ini untuk membolehkan seseorang pembujuk merangka sekaligus melancarkan usaha pembujukan beliau. RMP juga sebenarnya boleh membimbing seseorang pembujuk untuk peka kepada tahap-tahap kesukaan atau kebencian seseorang terhadap intipati atau matlamat pembujukan yang cuba dicapai oleh pembujuk. Apakah situasi yang sesuai bagi anda mengaplikasikan RMP? cuba uji RMP ke atas DUA [2] kes berikut, 1. seorang rakan yang mahu mengajak seorang rakan lain untuk pergi menonton filem seram [kebetulan rakan yang diajak ini [sasaran pembujukan] amat takut/fobia kepada cerita atau kisah momok/hantu]; dan 2. seorang rakan yang mahu mengajak seorang rakan lain untuk terlibat dalam satu aktiviti kesukarelaan [i.e. membantu mereka yang tidak mempunyai rumah [homeless]] dan paling penting, rakan anda ini memiliki prasangka terhadap mereka yang homeless ini.

Rabu, 29 September 2010

PERINGATAN

Salam sejahtera kepada semua pelajar,

Mohon perhatian dan tindakan lanjut daripada pihak semua pelajar kursus-kursus AK21503 [sepenuh masa dan PLUMS] dan kursus AK30903 [sepenuh masa] yang saya ajar dalam semester ini, bahawa kadar kehadiran pelajar tampak agak merosot sejak minggu kulah empat, lima, enam, tujuh dan lapan. Sila tunjukkan alasan ketidakhadiran anda secara bertulis [dengan sebab-sebab yang realistik] untuk membolehkan saya merekodkan ketidakhadiran anda dalam rekod pengajaran saya. Untuk makluman anda semua, ketidakhadiran sebanyak tiga kali berturut-turut atau ketidakhadiran tanpa kenyataan bertulis [yang disahihkan benar] boleh dipertimbangkan bagi sekatan menghadiri peperiksaan akhir. Tahniah kepada semua pelajar yang telah menunjukkan kehadiran yang konsisten dan minat yang tinggi dalam kursus-kursus yang saya ajar. Teruskan sikap positif anda itu.

Sekian dan harap maklum

Pensyarah kursus AK21503 [sepenuh masa dan PLUMS & kursus AK30903 [sepenuh masa]

Selasa, 28 September 2010

[AK30903] Kuliah 7

Etika dalam periklanan membantu pengiklan untuk mengiklankan produk atau perkhidmatan dengan cara yang boleh menyebabkan ahli masyarakat tersinggung, terhina atau diperlekehkan terutama dalam hal membabitkan adat resam, tuntutan agama serta moral. Aspek budaya dan bahasa pula merupakan elemen asas dalam pembinaan keperibadian generasi baru sebagai pelapis kepada generasi sedia ada agar pada masa depan, gologan muda ini boleh menggantikan tempat pemimpin hari ini sebagai pemimpin masa hadapan. Namun, kecelaruan dalam penggunaan bahasa iklan, paparan bahan iklan yang menongkah keperluan agama dan moral malah juga penampilan aspek negatif dalam iklan dikhuatiri menjadi penghalang kepada usaha melahirkan generasi muda yang memiliki jatidiri yang cemerlang dari sudut sikap dan tingkahlakunya sebagai audien iklan dan sebagai ahli masyarakat.

Fikirkan...Senaraikan SEPULUH [10] perlanggaran etika iklan sama ada yang dikenalpasti boleh menjejaskan aspek moral, sensitiviti agama dan kaum malah juga diskriminasi gender dalam mana-mana iklan yang pernah anda tonton, dengar atau baca dalam media massa. Kemukakan alasan yang kukuh tentang sebab mengapa anda mengatakan perlanggaran etika telah berlaku dalam iklan berkenaan.

Rabu, 22 September 2010

[AK30903] Kuliah 6

Rakyat Malaysia mempunyai sebab untuk mengemukakan aduan kepada pihak kerajaan selaku penyedia perkhidmatan kepada rakyat. Hal berkaitan dengan kepentingan umum lazimnya dikaitkan dengan fungsi kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat diberikan perhatian. Terdapat banyak saluran untuk menyampaikan aduan kepada pihak kerajaan antaranya termasuklah menerusi email kepada ketua jabatan, surat pembaca kepada editor akhbar, sms hotline kepada bahagian aduan dan khidmat pelanggan agensi yang berkenaan malah juga mungkin boleh bersemuka dengan pihak penjawat awam dan mengajukan sebarang cadangan serta aduan berkaitan perkhidmatan yang disediakan.

Fikirkan...Biro Pengaduan Awam Malaysia mungkin satu daripada banyak mekanisme penyaluran maklumat aduan kepada agensi kerajaan. Namun, adakah kewujudan BPA menggambarkan tahap keseriusan aduan awam di Malaysia perlu ditangani secara formal?

Khamis, 2 September 2010

Selamat Hari Lebaran

Selamat Hari Lebaran,

Sepuluh jari disusun tanda memohon kemaafan atas tutur kata dan tingkah yang menyinggung rasa, semoga kita mendapat keberkatan daripada kemuliaan Ramadhan dan cahaya Aidilfitri. Saya mengambil kesempatan menerusi blog ini untuk berpesan kepada diri saya dan sekalian pelajar yang saya ingati: berjimat dalam perbelanjaan membawa berkat; berhemat dalam pemanduan membawa selamat; bersepakat dalam kebaikan membawa muafakat; beringat dalam kesenangan mahu pun kesusahan membawa maslahat. Mudah-mudahan setiap apa yang kita kerjakan semasa musim perayaan ini memberi kesan baik kepada setiap insan yang ada di sekeliling kita...AMIN

Syah

[AK21503] Kuliah 8

Pembujukan dalam mod tulisan, lisan dan bukan lisan digunakan secara serentak, sebahagian atau salah satu daripada ketiga-tiganya dalam mana-mana aktiviti membujuk. Pilihan untuk menggunakan salah satu atau kombinasi mana-mana dua kaedah komunikasi ini diputuskan oleh pembujuk atas sebab yang berkaitan dengan konteks, matlamat dan jenis audien. Pembujuk yang baik tahu mengenalpasti mana-mana mod yang sesuai digunakan mengikut konteks, matlamat dan jenis audien yang menjadi sasaran pembujukan.

Fikirkan...Kaedah pembujukan tulisan, lisan dan bukan lisan yang boleh digunakan dalam iklan produk kecantikan

Selasa, 31 Ogos 2010

PIT STOP DISKUSI 1: Renungan untuk kajian kes PR dan kempen

Sambutan hari ulangtahun kemerdekaan yang ke-53 bagi negara kita baharu sahaja selesai siang tadi. Acara kemuncak bagi bulan kemerdekaan adalah perhimpunan memperingati kemerdekaan pada 31hb Ogos setiap tahun. Namun, sambutan tetap jadi acara tahunan. Semangat kenegaraan mungkin boleh dipersoalkan terutamanya untuk acara yang disambut di peringkat individu. Kempen kibarkan jalur gemilang tampak lesu dan tidak ada arah...saban tahun bilangan rakyat negara ini seolah-olah kian menyusut dari sudut keinginan untuk mengibarkan bendera negara kita. Apakah gambaran tentang perkembangan mutakhir ini?setakat manakah kempen kibarkan jalur gemilang benar-benar mencapai matlamatnya?kemukakan cadangan anda terutama dari sudut pandangan pelajar Perhubungan Awam untuk membantu menambahbaik kempen ini agar rakyat memahami tujuan dan kesan aktiviti mengibar jalur gemilang. Syor anda juga perlulah mengambilkira perkara-perkara asas untuk menjayakan kempen ini seperti galakan dan penyertaan oleh institusi masyarakat, pembekalan bendera [secara percuma atau dibeli] dan paling utama adakah aktiviti ini perlu dijalankan pada bulan kemerdekaan setiap tahun sahaja atau mungkin perlu dijadikan sebagai acara sepanjang tahun...pada pendapat anda, adakah lirik lagu 'Warisan' dendangan allahyarham Sudirman dapat memberi impak kepada 'roh' kempen kibarkan jalur gemilang?jika YA tunjukkan apakah cara terbaik untuk menerapkan falsafah 'warisan' ke dalam diri setiap individu generasi muda di negara ini agar menyokong setiap kempen untuk setia kepada negara kita.

Jumaat, 27 Ogos 2010

[AK21503] Kuliah 7

Aspek psikososial amat penting bagi membantu pembujuk menentukan corak tingkahlaku sasaran pembujukan sama ada dapat dikawal atau sebaliknya. Tingkahlaku yang dapat diselaraskan dengan keperluan pelan kempen sudah tentu memberi impak kepada tahap sokongan daripada sasaran pembujukan. Perlu diingat, kesan psikososial yang menyebelahi pihak pembujuk adalah lahir daripada usaha berterusan oleh pembujuk. Usaha membujuk yang memfokus kepada perubahan aspek psikososial ini digembleng dengan cara menguasai element demografik mahu pun psikografik khalayak yang dibujuk.

Fikirkan...Langkah-langkah penting dalam menentukan segmen audien satu-satu kempen.
kesan-kesan psikososial akibat penggunaan elemen pembujukan secara tidak beretika dalam satu-satu kempen; dan,

Apakah kesan-kesan psikososial akibat penggunaan elemen pembujukan secara tidak beretika dalam satu-satu kempen.

Selasa, 24 Ogos 2010

[AK30903] Kuliah 5

Product Recall berperanan sebagai mekanisme akujanji pengeluar satu-satu produk kepada pengguna/pembeli produk tersebut. Pihak pengeluar yang akur kepada rasa tanggungjawab dan menjunjung prinsip akauntabiliti terhadap kebajikan pengguna/pembeli produk akan menjadikan product recall sebagai jaminan bahawa organisasi yang berkenaan mementingkan tanggungjawab sosial.

Fikirkan...Bincangkan kebaikan dan keburukan product recall oleh sebuah organisasi pengeluar produk kecantikan; dan,

Huraikan TIGA [3] fungsi product recall terhadap proses product recall yang dilakukan oleh sebuah organisasi pengeluar barangan elektrik.