Pages

Khamis, 30 September 2010

PIT STOP DISKUSI 2 [AK30903]: Ketirisan Maklumat semasa situasi krisis

Wujud persoalan tentang apakah kesan yang timbul dalam sebuah organisasi akibat edaran mesej yang tidak terkawal semasa situasi krisis. Apakah punca berlakunya edaran mesej yang tidak terkawal semasa situasi krisis [i.e. kebakaran sebuah kilang yang mengakibatkan kehilangan jiwa]. Beberapa penyebab yang menyumbang kepada kecelaruan edaran maklumat sehingga diketahui oleh pihak yang tidak sepatutnya di luar organisasi adalah, 1. sikap tidak amanah pekerja dalam organisasi yang berkenaan; 2. kepintaran pihak wakil media untuk mengumpan pekerja agar membocorkan maklumat kepada mereka; 3. sistem kawalan maklumat yang lemah/longgar sehingga pihak yang tidak sepatutnya boleh mengakses maklumat berkenaan; dan. 4. kepimpinan organisasi yang lemah yang menyebabkan para pekerja di organisasinya boleh bercakap/membincangkan satu-satu krisis secara terbuka sehingga boleh diketahui oleh pihak luar. Cuba tunjukkan kesan langsung akibat edaran mesej yang tidak terkawal dalam sesebuah organisasi sama ada kepada organisasi itu sendiri, khalayak sasar, media, masyarakat umum, pelabur, pekerja dalam organisasi malah juga ketua organisasi itu sendiri.

PIT STOP DISKUSI 2 [AK21503]: The Rational Model of Persuasion [RMP]

The Rational Model of Persuasion [RMP] adalah salah satu model yang boleh digunakan untuk membantu pembujuk untuk menilai situasi dan audien pembujukan sebelum satu-satu usaha membujuk dijalankan. kenalpasti langkah-langkah penting yang perlu diambilkira dalam model ini untuk membolehkan seseorang pembujuk merangka sekaligus melancarkan usaha pembujukan beliau. RMP juga sebenarnya boleh membimbing seseorang pembujuk untuk peka kepada tahap-tahap kesukaan atau kebencian seseorang terhadap intipati atau matlamat pembujukan yang cuba dicapai oleh pembujuk. Apakah situasi yang sesuai bagi anda mengaplikasikan RMP? cuba uji RMP ke atas DUA [2] kes berikut, 1. seorang rakan yang mahu mengajak seorang rakan lain untuk pergi menonton filem seram [kebetulan rakan yang diajak ini [sasaran pembujukan] amat takut/fobia kepada cerita atau kisah momok/hantu]; dan 2. seorang rakan yang mahu mengajak seorang rakan lain untuk terlibat dalam satu aktiviti kesukarelaan [i.e. membantu mereka yang tidak mempunyai rumah [homeless]] dan paling penting, rakan anda ini memiliki prasangka terhadap mereka yang homeless ini.

Rabu, 29 September 2010

PERINGATAN

Salam sejahtera kepada semua pelajar,

Mohon perhatian dan tindakan lanjut daripada pihak semua pelajar kursus-kursus AK21503 [sepenuh masa dan PLUMS] dan kursus AK30903 [sepenuh masa] yang saya ajar dalam semester ini, bahawa kadar kehadiran pelajar tampak agak merosot sejak minggu kulah empat, lima, enam, tujuh dan lapan. Sila tunjukkan alasan ketidakhadiran anda secara bertulis [dengan sebab-sebab yang realistik] untuk membolehkan saya merekodkan ketidakhadiran anda dalam rekod pengajaran saya. Untuk makluman anda semua, ketidakhadiran sebanyak tiga kali berturut-turut atau ketidakhadiran tanpa kenyataan bertulis [yang disahihkan benar] boleh dipertimbangkan bagi sekatan menghadiri peperiksaan akhir. Tahniah kepada semua pelajar yang telah menunjukkan kehadiran yang konsisten dan minat yang tinggi dalam kursus-kursus yang saya ajar. Teruskan sikap positif anda itu.

Sekian dan harap maklum

Pensyarah kursus AK21503 [sepenuh masa dan PLUMS & kursus AK30903 [sepenuh masa]

Selasa, 28 September 2010

[AK30903] Kuliah 7

Etika dalam periklanan membantu pengiklan untuk mengiklankan produk atau perkhidmatan dengan cara yang boleh menyebabkan ahli masyarakat tersinggung, terhina atau diperlekehkan terutama dalam hal membabitkan adat resam, tuntutan agama serta moral. Aspek budaya dan bahasa pula merupakan elemen asas dalam pembinaan keperibadian generasi baru sebagai pelapis kepada generasi sedia ada agar pada masa depan, gologan muda ini boleh menggantikan tempat pemimpin hari ini sebagai pemimpin masa hadapan. Namun, kecelaruan dalam penggunaan bahasa iklan, paparan bahan iklan yang menongkah keperluan agama dan moral malah juga penampilan aspek negatif dalam iklan dikhuatiri menjadi penghalang kepada usaha melahirkan generasi muda yang memiliki jatidiri yang cemerlang dari sudut sikap dan tingkahlakunya sebagai audien iklan dan sebagai ahli masyarakat.

Fikirkan...Senaraikan SEPULUH [10] perlanggaran etika iklan sama ada yang dikenalpasti boleh menjejaskan aspek moral, sensitiviti agama dan kaum malah juga diskriminasi gender dalam mana-mana iklan yang pernah anda tonton, dengar atau baca dalam media massa. Kemukakan alasan yang kukuh tentang sebab mengapa anda mengatakan perlanggaran etika telah berlaku dalam iklan berkenaan.

Rabu, 22 September 2010

[AK30903] Kuliah 6

Rakyat Malaysia mempunyai sebab untuk mengemukakan aduan kepada pihak kerajaan selaku penyedia perkhidmatan kepada rakyat. Hal berkaitan dengan kepentingan umum lazimnya dikaitkan dengan fungsi kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat diberikan perhatian. Terdapat banyak saluran untuk menyampaikan aduan kepada pihak kerajaan antaranya termasuklah menerusi email kepada ketua jabatan, surat pembaca kepada editor akhbar, sms hotline kepada bahagian aduan dan khidmat pelanggan agensi yang berkenaan malah juga mungkin boleh bersemuka dengan pihak penjawat awam dan mengajukan sebarang cadangan serta aduan berkaitan perkhidmatan yang disediakan.

Fikirkan...Biro Pengaduan Awam Malaysia mungkin satu daripada banyak mekanisme penyaluran maklumat aduan kepada agensi kerajaan. Namun, adakah kewujudan BPA menggambarkan tahap keseriusan aduan awam di Malaysia perlu ditangani secara formal?

Khamis, 2 September 2010

Selamat Hari Lebaran

Selamat Hari Lebaran,

Sepuluh jari disusun tanda memohon kemaafan atas tutur kata dan tingkah yang menyinggung rasa, semoga kita mendapat keberkatan daripada kemuliaan Ramadhan dan cahaya Aidilfitri. Saya mengambil kesempatan menerusi blog ini untuk berpesan kepada diri saya dan sekalian pelajar yang saya ingati: berjimat dalam perbelanjaan membawa berkat; berhemat dalam pemanduan membawa selamat; bersepakat dalam kebaikan membawa muafakat; beringat dalam kesenangan mahu pun kesusahan membawa maslahat. Mudah-mudahan setiap apa yang kita kerjakan semasa musim perayaan ini memberi kesan baik kepada setiap insan yang ada di sekeliling kita...AMIN

Syah

[AK21503] Kuliah 8

Pembujukan dalam mod tulisan, lisan dan bukan lisan digunakan secara serentak, sebahagian atau salah satu daripada ketiga-tiganya dalam mana-mana aktiviti membujuk. Pilihan untuk menggunakan salah satu atau kombinasi mana-mana dua kaedah komunikasi ini diputuskan oleh pembujuk atas sebab yang berkaitan dengan konteks, matlamat dan jenis audien. Pembujuk yang baik tahu mengenalpasti mana-mana mod yang sesuai digunakan mengikut konteks, matlamat dan jenis audien yang menjadi sasaran pembujukan.

Fikirkan...Kaedah pembujukan tulisan, lisan dan bukan lisan yang boleh digunakan dalam iklan produk kecantikan

Selasa, 31 Ogos 2010

PIT STOP DISKUSI 1: Renungan untuk kajian kes PR dan kempen

Sambutan hari ulangtahun kemerdekaan yang ke-53 bagi negara kita baharu sahaja selesai siang tadi. Acara kemuncak bagi bulan kemerdekaan adalah perhimpunan memperingati kemerdekaan pada 31hb Ogos setiap tahun. Namun, sambutan tetap jadi acara tahunan. Semangat kenegaraan mungkin boleh dipersoalkan terutamanya untuk acara yang disambut di peringkat individu. Kempen kibarkan jalur gemilang tampak lesu dan tidak ada arah...saban tahun bilangan rakyat negara ini seolah-olah kian menyusut dari sudut keinginan untuk mengibarkan bendera negara kita. Apakah gambaran tentang perkembangan mutakhir ini?setakat manakah kempen kibarkan jalur gemilang benar-benar mencapai matlamatnya?kemukakan cadangan anda terutama dari sudut pandangan pelajar Perhubungan Awam untuk membantu menambahbaik kempen ini agar rakyat memahami tujuan dan kesan aktiviti mengibar jalur gemilang. Syor anda juga perlulah mengambilkira perkara-perkara asas untuk menjayakan kempen ini seperti galakan dan penyertaan oleh institusi masyarakat, pembekalan bendera [secara percuma atau dibeli] dan paling utama adakah aktiviti ini perlu dijalankan pada bulan kemerdekaan setiap tahun sahaja atau mungkin perlu dijadikan sebagai acara sepanjang tahun...pada pendapat anda, adakah lirik lagu 'Warisan' dendangan allahyarham Sudirman dapat memberi impak kepada 'roh' kempen kibarkan jalur gemilang?jika YA tunjukkan apakah cara terbaik untuk menerapkan falsafah 'warisan' ke dalam diri setiap individu generasi muda di negara ini agar menyokong setiap kempen untuk setia kepada negara kita.

Jumaat, 27 Ogos 2010

[AK21503] Kuliah 7

Aspek psikososial amat penting bagi membantu pembujuk menentukan corak tingkahlaku sasaran pembujukan sama ada dapat dikawal atau sebaliknya. Tingkahlaku yang dapat diselaraskan dengan keperluan pelan kempen sudah tentu memberi impak kepada tahap sokongan daripada sasaran pembujukan. Perlu diingat, kesan psikososial yang menyebelahi pihak pembujuk adalah lahir daripada usaha berterusan oleh pembujuk. Usaha membujuk yang memfokus kepada perubahan aspek psikososial ini digembleng dengan cara menguasai element demografik mahu pun psikografik khalayak yang dibujuk.

Fikirkan...Langkah-langkah penting dalam menentukan segmen audien satu-satu kempen.
kesan-kesan psikososial akibat penggunaan elemen pembujukan secara tidak beretika dalam satu-satu kempen; dan,

Apakah kesan-kesan psikososial akibat penggunaan elemen pembujukan secara tidak beretika dalam satu-satu kempen.

Selasa, 24 Ogos 2010

[AK30903] Kuliah 5

Product Recall berperanan sebagai mekanisme akujanji pengeluar satu-satu produk kepada pengguna/pembeli produk tersebut. Pihak pengeluar yang akur kepada rasa tanggungjawab dan menjunjung prinsip akauntabiliti terhadap kebajikan pengguna/pembeli produk akan menjadikan product recall sebagai jaminan bahawa organisasi yang berkenaan mementingkan tanggungjawab sosial.

Fikirkan...Bincangkan kebaikan dan keburukan product recall oleh sebuah organisasi pengeluar produk kecantikan; dan,

Huraikan TIGA [3] fungsi product recall terhadap proses product recall yang dilakukan oleh sebuah organisasi pengeluar barangan elektrik.

Khamis, 19 Ogos 2010

[AK21503] Kuliah 6

The Rational Model of Persuasion [RMP] menjelaskan bahawa [B]Kepercayaan + [V]Nilai dibahagikan dengan [M]Motif boleh membantu pembujuk mengesan kehadiran Sikap dan Tingkahlaku [A] yang ditunjukkan oleh individu sasaran pembujukan. Ini penting untuk pembujuk mengenalpasti perubahan tingkahlaku individu sasaran pembujukan berkenaan sama ada cenderung ke arah tingkahlaku menyokong pembujuk atau sebaliknya. Jika tingkahlaku sasaran pembujukan berlawanan dengan kehendak pembujuk, maka, pembujuk perlu memilih untuk menggunakan "LIMA [5] tujuan realistik yang mungkin wujud dalam diri audien".

Fikirkan...SATU [1] situasi yang anda fikirkan sesuai untuk menguasai sikap dan tingkahlaku sasaran pembujukan menggunakan "LIMA [5] tujuan realistik yang mungkin wujud dalam diri audien". Huraikan setiap satu daripada LIMA[5] tujuan realistik berkenaan mengikut situasi yang anda hadapi itu.

Rabu, 18 Ogos 2010

[AK30903] Kuliah 4

Mesej rekaan adalah antara mesej yang lazim diedar/salur/hebahkan dalam sesebuah organisasi selain daripada mesej formal dan informal. Ketekalan dan kesempurnaan mesej rekaan menjadi sebab bagi set mesej berkenaan diperkatakan malah diperdebatkan oleh khalayak dalaman mahu pun luaran sesebuah organisasi. Sungguhpun begitu, mesej rekaan ada masanya berpotensi menjadi 'mesej sensitif' yang boleh membawa masalah kepada imej-reputasi sesebuah organisasi apatah lagi mesej jenis ini dikaitkan dengan peribadi seseorang individu pekerja atau pengurus dalam organisasi berkenaan.

Fikirkan...Senaraikan contoh ‘mesej sensitif’ yang lazim timbul semasa krisis pecah amanah/rasuah/penyelewengan kuasa yang melibatkan penjawat-penjawat awam di sesebuah organisasi kerajaan? Nyatakan sebab mengapa pihak media massa berminat untuk mendapatkan mesej sedemikian

Khamis, 12 Ogos 2010

[AK21503] Kuliah 5

Merancang adalah satu tindakan yang penrlu dilakukan sebelum melaksanakan satu-satu perkara. Perancangan pelan kempen merangkumi usaha mengenalpasti jenis/bentuk aktiviti yang sesuai untuk disikan dalam jangkawaktu kempen, sumber manusia, sumber kewangan, logistik dan kepatuhan terhadap perundangan. Aspek pelaksanaan pula adalah sebahagian daripada proses merancang di mana ia perlu mengambilkiran setiap item yang disenaraikan dalam perancangan pelan kempen itu sendiri.

Fikirkan...Kempen ‘kebersihan’ lazimnya dilaksanakan di persekitaran yang kotor, tidak terurus dari segi pembuangan sisa kumbahan, kawasan berpotensi menjadi pusat wabak penyakit seperti kolera dan denggi malah juga di lokaliti yang didiami masyarakat yang dianggap tidak berpengetahuan serta mengabaikan aspek kebersihan. Kemukakan rancangan kempen anda untuk membantu satu-satu kawasan menjalankan kempen kebersihan yang sesuai dengan keperluan kawasan berkenaan terutama dari segi demografi penduduk, jenis kekotoran dan bentuk tindakan yang anda fikirkan dapat mengubah sikap penduduk di kawasan berkenaan terhadap aspek kebersihan.

Selasa, 10 Ogos 2010

Ucap selamat Ramadhan


Salam dan selamat sejahtera,


Terima kasih atas pembelian buku Kempen & Pembujukan oleh pelajar yang dah beli. Kepada pelajar-pelajar muslim, selamat memulakan ibadah puasa di bulan yang mulia ini. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan keberkatan daripada setiap pekerjaan yang dilakukan.

[AK30903] Kuliah 3

Transient image adalah imej yang wujud dalam fikiran khalayak [dalaman dan luaran] sesebuah organisasi terhadap fungsi, kemampuan dan faedah organisasi terhadap khalayak. Manakala, Corporate Reputation pula adalah penilaian umum yang dilakukan oleh khalayak terhadap sesebuah organisasi dalam tempoh tertentu. Isu yang dikaitkan dengan keupayaan organisasi menjalankan fungsinya terhadap khalayak boleh menjadi sebab mengapa imej sesebuah organisasi dipandang tinggi atau sebaliknya. Pengalaman khalayak berurusan dengan organisasi juga boleh menjadi kayu ukur untuk menilai sejauhmanakah prestasi organisasi dapat dinilai sebagai baik atau sederhana.

Berpandukan fakta yang anda sahihkan daripada sumber yang betul, kenalpasti SATU [1] organisasi dan huraikan Transient Image dan Corporate Reputation organisasi berkenaan.

Ahad, 8 Ogos 2010

[AK21503] Kuliah 4

Semua pihak perlu tahu bahawa fasa ‘pembujukan’ adalah had masa untuk melaksanakan program/aktiviti dalam pembujukan. Terdapat EMPAT [4] fasa dalam aktiviti pembujukan iaitu, 1. Fasa ‘awal pembujukan’ di mana manusia berusaha mewujudkan kemesraan menerusi perkenalan antara individu yang terlibat; 2. Fasa ‘pra matang’ yang memperlihatkan aktiviti menguji individu terhadap tahap pengetahuan tentang fakta berkaitan tujuan pembujukan; 3. dalam Fasa ‘matang’ , kupasan isi dan hujah tentang isu menjadi intipati percakapan; dan,
4. Fasa ‘pasca pembujukan’ yang memerlukan seseorang membuat rumusan dan pemantauan kesan keseluruhan aktiviti pembujukan.

Fikirkan...Letakkan diri anda sebagai sasaran pembujuk bagi satu-satu aktiviti pembujukan. Selepas aktiviti pembujukan tersebut, senaraikan dan susun perubahan tingkahlaku, emosi dan sikap anda mengikut fasa dalam proses pembujukan.

Sabtu, 31 Julai 2010

[AK21503] Kuliah 3

'Kaedah pembujukan' dan 'kesan pembujukan' adalah istilah yang lazim dirujuk kepada aktiviti membujuk dan jangkaan implikasi bujukan ke atas khalayak pembujukan [sasaran bujukan]. setiap individu mempunyai tahap kesan pembujukan mengikut jenis kaedah membujuk yang tertentu. Sebilangan daripada manusia boleh dibujuk dengan mudah manakala, sebilangan yang lain begitu sukar dibujuk. Atas faktor demografi seperti jantina, umur, tahap pendidikan, pengaruh agama dan adat malah juga pandang dunia [world view], manusia boleh dikategorikan sebagai mudah, sederhana dan sukar dipengaruhi menggunakan kaedah pembujukan.

Fikirkan...Senaraikan sekurang-kurangnya LIMA [5] cara pembujukan yang boleh memberi kesan kepada anda. Nyatakan sebab-sebab bagi keberkesanan cara pembujukan tersebut ke atas diri anda.

Jumaat, 23 Julai 2010

[AK21503] Kuliah 2


Gerakerja yang dirancang dalam pelan satu-satu kempen berpotensi memberi kesan menyeluruh ke atas aspek-aspek asas dalam kempen itu sendiri. Antara aspek asas dalam satu-satu kempen termasuklah, pihak pelaksana kempen, khalayak kempen dan isu yang menjadi dasar pelaksanaan kempen. Isu yang menjadi matlamat kempen adalah aspek paling kritikal untuk ditangani. Oleh sebab itulah, satu-satu isu yang menjadi fokus satu-satu kempen perlu secara bijaksana diketengahkan dengan cara yang mudah difahami agar ia mampu menarik perhatian khalayak agar khalayak dapat dilibatkan secara langsung sebagai peserta aktif dalam usaha menyelesaikan isu berkenaan.

Kempen secara teknik meliputi elemen pendedahan. Pewujudan spektrum skop untuk bertindak, dorongan secara berkala atau konsisten untuk membuat keputusan dan usaha mengekalkan momentum untuk mengekalkan keputusan terhadap sesuatu (Syahruddin Hj. Awg. Ahmad, 2010)

Fikirkan..."apakah kempen yang anda pernah lihat/dengar/terlibat?Berpandukan maklumat daripada pemerhatian anda, nilaikan sejauhmanakah kempen dapat membantu satu-satu kumpulan pelaksana dan khalayak sasar kempen merangka jalan penyelesaian satu-satu masalah yang menjadi fokus kempen tersebut"

Sabtu, 17 Julai 2010

[AK21503] Kuliah 1

kempen membantu manusia mencipta peluang untuk menyelesaikan masalah dalam kalangan masyarakat dan negaranya. kempen wujud kerana ada isu yang menyebabkan kehidupan manusia terjejas kualitinya. masalah yang timbul akibat rokok, kekotoran persekitaran, gejala sosial dan sebagainya memberi kesan langsung kepada kesihatan, kesejahteraan dan keselesaan hidup masyarakat. kempen dirangka khusus untuk menimbulkan kesedaran agar ahli-ahli masyarakat mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menyelesaikan masalah tersebut. sungguhpun begitu, kempen yang baik perlu dirancang dan dilaksanakan berpandukan maklumat yang tepat berkaitan dengan audien kempen, matlamat dan jangkaan hasil kempen. Ini semua dapat dijayakan dengan cara menyelidik terlebih dahulu latarbelakang audien atau khalayak sasar kempen. kaedah membujuk perlu dimasukkan sebagai sebahagian daripada gerakerja kempen agar manusia dapat diubah dan ditentukan cara hidupnya daripada keadaan tidak baik kepada satu situasi yang lebih baik..