Pages

Khamis, 30 September 2010

PIT STOP DISKUSI 2 [AK30903]: Ketirisan Maklumat semasa situasi krisis

Wujud persoalan tentang apakah kesan yang timbul dalam sebuah organisasi akibat edaran mesej yang tidak terkawal semasa situasi krisis. Apakah punca berlakunya edaran mesej yang tidak terkawal semasa situasi krisis [i.e. kebakaran sebuah kilang yang mengakibatkan kehilangan jiwa]. Beberapa penyebab yang menyumbang kepada kecelaruan edaran maklumat sehingga diketahui oleh pihak yang tidak sepatutnya di luar organisasi adalah, 1. sikap tidak amanah pekerja dalam organisasi yang berkenaan; 2. kepintaran pihak wakil media untuk mengumpan pekerja agar membocorkan maklumat kepada mereka; 3. sistem kawalan maklumat yang lemah/longgar sehingga pihak yang tidak sepatutnya boleh mengakses maklumat berkenaan; dan. 4. kepimpinan organisasi yang lemah yang menyebabkan para pekerja di organisasinya boleh bercakap/membincangkan satu-satu krisis secara terbuka sehingga boleh diketahui oleh pihak luar. Cuba tunjukkan kesan langsung akibat edaran mesej yang tidak terkawal dalam sesebuah organisasi sama ada kepada organisasi itu sendiri, khalayak sasar, media, masyarakat umum, pelabur, pekerja dalam organisasi malah juga ketua organisasi itu sendiri.

PIT STOP DISKUSI 2 [AK21503]: The Rational Model of Persuasion [RMP]

The Rational Model of Persuasion [RMP] adalah salah satu model yang boleh digunakan untuk membantu pembujuk untuk menilai situasi dan audien pembujukan sebelum satu-satu usaha membujuk dijalankan. kenalpasti langkah-langkah penting yang perlu diambilkira dalam model ini untuk membolehkan seseorang pembujuk merangka sekaligus melancarkan usaha pembujukan beliau. RMP juga sebenarnya boleh membimbing seseorang pembujuk untuk peka kepada tahap-tahap kesukaan atau kebencian seseorang terhadap intipati atau matlamat pembujukan yang cuba dicapai oleh pembujuk. Apakah situasi yang sesuai bagi anda mengaplikasikan RMP? cuba uji RMP ke atas DUA [2] kes berikut, 1. seorang rakan yang mahu mengajak seorang rakan lain untuk pergi menonton filem seram [kebetulan rakan yang diajak ini [sasaran pembujukan] amat takut/fobia kepada cerita atau kisah momok/hantu]; dan 2. seorang rakan yang mahu mengajak seorang rakan lain untuk terlibat dalam satu aktiviti kesukarelaan [i.e. membantu mereka yang tidak mempunyai rumah [homeless]] dan paling penting, rakan anda ini memiliki prasangka terhadap mereka yang homeless ini.

Rabu, 29 September 2010

PERINGATAN

Salam sejahtera kepada semua pelajar,

Mohon perhatian dan tindakan lanjut daripada pihak semua pelajar kursus-kursus AK21503 [sepenuh masa dan PLUMS] dan kursus AK30903 [sepenuh masa] yang saya ajar dalam semester ini, bahawa kadar kehadiran pelajar tampak agak merosot sejak minggu kulah empat, lima, enam, tujuh dan lapan. Sila tunjukkan alasan ketidakhadiran anda secara bertulis [dengan sebab-sebab yang realistik] untuk membolehkan saya merekodkan ketidakhadiran anda dalam rekod pengajaran saya. Untuk makluman anda semua, ketidakhadiran sebanyak tiga kali berturut-turut atau ketidakhadiran tanpa kenyataan bertulis [yang disahihkan benar] boleh dipertimbangkan bagi sekatan menghadiri peperiksaan akhir. Tahniah kepada semua pelajar yang telah menunjukkan kehadiran yang konsisten dan minat yang tinggi dalam kursus-kursus yang saya ajar. Teruskan sikap positif anda itu.

Sekian dan harap maklum

Pensyarah kursus AK21503 [sepenuh masa dan PLUMS & kursus AK30903 [sepenuh masa]

Selasa, 28 September 2010

[AK30903] Kuliah 7

Etika dalam periklanan membantu pengiklan untuk mengiklankan produk atau perkhidmatan dengan cara yang boleh menyebabkan ahli masyarakat tersinggung, terhina atau diperlekehkan terutama dalam hal membabitkan adat resam, tuntutan agama serta moral. Aspek budaya dan bahasa pula merupakan elemen asas dalam pembinaan keperibadian generasi baru sebagai pelapis kepada generasi sedia ada agar pada masa depan, gologan muda ini boleh menggantikan tempat pemimpin hari ini sebagai pemimpin masa hadapan. Namun, kecelaruan dalam penggunaan bahasa iklan, paparan bahan iklan yang menongkah keperluan agama dan moral malah juga penampilan aspek negatif dalam iklan dikhuatiri menjadi penghalang kepada usaha melahirkan generasi muda yang memiliki jatidiri yang cemerlang dari sudut sikap dan tingkahlakunya sebagai audien iklan dan sebagai ahli masyarakat.

Fikirkan...Senaraikan SEPULUH [10] perlanggaran etika iklan sama ada yang dikenalpasti boleh menjejaskan aspek moral, sensitiviti agama dan kaum malah juga diskriminasi gender dalam mana-mana iklan yang pernah anda tonton, dengar atau baca dalam media massa. Kemukakan alasan yang kukuh tentang sebab mengapa anda mengatakan perlanggaran etika telah berlaku dalam iklan berkenaan.